ORANG Asli Kampung Kuala Koh yang kritikal dihantar ke Hospital Gua Musang dengan bantuan JAKOA. FOTO Ramli Ibrahim
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


“DUA anak sesak nafas sebelum masing-masing dihantar untuk rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

“Mereka diserang penyakit itu sejak empat hari lalu apabila kedua-duanya tidak dapat tidur,” kata Adidas Om, 32, Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh, Gua Musang.

Adidas ketika ditemui berkata, dua anak perempuannya, Hoi, 6, dan Boi, 5, masing-masing dirawat di HGM serta HKK.

Bapa tunggal itu berkata, dia menjaga Boi di HKK, manakala Hoi dijaga kakaknya di HGM.

“Dua anak saya dimasukkan ke hospital sejak semalam selepas keadaan mereka agak kritikal.

“Saya bimbang melihat keadaan anak sebelum memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk tindakan lanjut.

“Saya bersyukur kerana anak sempat dihantar ke hospital dan keadaannya kini semakin pulih,” katanya ketika ditemui di wad Pediatrik HKK, Kuala Krai, hari ini.

Menurutnya, ramai kawan dan jirannya meninggal dunia akibat penyakit itu menyebabkan dia bimbang dengan situasi itu sekiranya anak turut menjadi mangsa.

Katanya, dia syak keadaan itu berlaku dipercayai berpunca daripada pencemaran air akibat perlombongan bijih timah.

“Saya dan penduduk di sana (Kuala Koh) berharap supaya pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dengan membekalkan air bersih kepada kami.

“Kami juga mahu lombong bijih timah yang berdekatan kampung kami ditutup kerana tidak mahu masyarakat kami terus menjadi mangsa pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Adidas berkata, dia tinggal di perkampungan itu sejak 10 tahun yang lalu dan kes itu pertama kali berlaku.

Akhbar hari ini melaporkan, 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia dalam tempoh sebulan yang sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin dipetik berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin dilaporkan berkata, kematian Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, disebabkan jangkitan kuman di saluran pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 2:30 PM