FOTO Hiasan
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


LELAKI ditemui mati tergantung di rumah di Nanga Assan, Sibu, semalam.

Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui teman wanitanya yang berusia 43 tahun kira-kira 4 petang sebelum membuat laporan di Balai Polis Lanang.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan setibanya di lokasi, pihaknya mendapati rumah terbabit masih dalam keadaan berkunci dari dalam.

“Pihak kami memecah masuk menerusi pintu utama dan pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan tergantung di alang (beam) di dapur dengan tali terjerut pada leher, manakala bahagian hujung tali diikat dengan tong gas.

“Keadaan mayat kehitaman, membengkak dan mengeluarkan cecair serta berbau dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap rumah mangsa mendapati barang peribadi seperti dompet, rokok dan telefon bimbit dalam keadaan baik di atas meja berhampiran dengan lokasinya menggantung diri.

“Seorang saksi awam memberitahu bahawa kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa yang bekerja sebagai mekanik ialah pada 5 Jun lalu.

“Mangsa ada memaklumkan dia akan pergi jauh dan saksi hanya menyangka mangsa akan ke Bintulu kerana pernah bekerja sebagai mekanik di sana.

“Siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 1:15 PM