Lelaki warga asing ditahan ketika cuba membuka mesin ATM menggunakan pin kertas di sebuah bank di Tawau. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

SEORANG lelaki warga asing ditahan ketika cuba membuka mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan pin kertas di sebuah bank di Jalan Perbandaran, Tawau, pagi tadi.

Perbuatan suspek disedari orang ramai dan pengurus bank berkenaan pada 8.10 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Anggota Unit Pasukan Peronda (MPV) Tawau yang tiba 10 minit kemudian terus menahan suspek berumur 27 tahun itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian tiada pengawal keselamatan bertugas selain sistem penggera bank tidak berbunyi kerana pintu peti besi mesin ATM tidak diusik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, satu penutup mesin ATM dalam keadaan terbuka dipercayai diumpil, namun pintu peti besi masih dalam keadaan sempurna,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) suspek yang juga dipercayai kurang siuman itu sering kelihatan berkeliaran di kawasan bandar dan bank berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah methampetamine dan amphetamin namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 5:15 PM