Penduduk Orang Asli Kampung Kuala Koh yang diserang penyakit tibi dihantar ke Hospital Gua Musang dengan bantuan JAKOA. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

DUA meninggal dunia manakala 31 Orang Asli suku Batik di Kampung Kuala Koh, Gua Musang menerima rawatan selepas menghidap penyakit tibi kritikal sejak sebulan lalu.

Kematian terbaru kelmarin, membabitkan seorang wanita Orang Asli berusia 22 tahun, manakala seorang meninggal dunia pertengahan bulan lalu.

Seramai 31 penduduk yang lain termasuk kanak-kanak menerima rawatan di klinik Aring 1, Klinik Kesihatan Chiku 3, dan Hospital Gua Musang (HGM) sejak Isnin lalu.

Tiga daripada mereka yang tenat terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaan mereka stabil.

Guru Agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd Fadzli Mahmok berkata, mereka diserang penyakit itu sejak awal Ramadan dan kini jumlahnya bertambah.

Katanya, mereka diserang batuk dan badan menjadi kurus dipercayai selepas menggunakan air tadahan bukit yang kotor kesan pencemaran lombong bijih besi.

“Mereka diserang penyakit itu sebulan lalu, namun tidak mendapatkan rawatan awal kerana tidak ada kenderaan pacuan empat roda untuk ke klinik,” katanya yang menguruskan pengebumian jenazah dua penduduk Orang Asli beragama Islam berkenaan.

Menurutnya, dia bukan sahaja menguruskan pengebumian penduduk yang meninggal dunia tetapi juga terpaksa menghantar mereka ke HGM.

Penduduk Orang Asli, Mamat Pokok, 39, berkata, dia khuatir jika serangan penyakit itu berpunca daripada pencemaran air.

Katanya, sebulan lalu hanya beberapa penduduk sahaja dijangkiti penyakit itu dan seminggu kemudian ia mula merebak.

“Ketika ini masih ramai penduduk yang batuk kerana serangan penyakit sama dan belum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, mereka dalam pemantauan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk dihantar ke hospital.

Manakala, Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh dijangkiti tibi.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya dimaklumkan hanya seorang yang meninggal dunia dikebumikan mengikut agama Islam di Tanah Perkuburan kampung itu.

“Penduduk yang kritikal masih menerima rawatan di HGM dan yang tenat di HKK,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kematian penduduk Orang Asli yang disebabkan penyakit tibi.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 3:05 PM