PAPAN iklan yang disimbah cat merah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


KETUA Peneroka Felda Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh kecewa apabila papan iklan yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali disimbah cat merah, semalam.

Karip berkata, kejadian itu disedarinya ketika berada di sebuah selekoh di Felda Palong Tujuh dan Lapan, di Jempol.

Katanya, papan iklan berkenaan dipasang sudah lama yang menyalurkan maklumat berkaitan hala tuju pembaharuan Felda.

“Saya yakin kejadian ini (papan iklan disimbah cat) dilakukan individu tidak bertanggungjawab sejak beberapa hari lalu.

“Kejadian seumpama ini tidak patut dilakukan terutama ketika Aidilfitri dan ia tidak menghormati pemimpin negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Jempol berkata, perbuatan itu menunjukkan mentaliti masyarakat masih berada pada tahap rendah.

“Saya tidak tahu apa pasal pelaku yang mahu menyimbah cat pada papan iklan,” katanya.

Karip berkata, dia bercadang mahu membuat laporan polis berhubung kejadian khianat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 9:23 AM