Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


MAYAT yang ditemui terapung di Sungai Sarawak berhampiran Tebingan Kuching semalam adalah Dr Ting Yung Chuan, 37, dari Taman Phoning, Kuching.

Beliau yang juga seorang doktor pakar di Hospital Umum Sarawak (HUS) dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah oleh isterinya pada 3 Jun lalu sebelum mayatnya ditemui orang awam 6.20 pagi semalam.

Sumber polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut berkenaan punca kematian masih dijalankan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

“Pengecaman mayat sudah dibuat isteri mangsa 10 pagi semalam,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika ditemui mayat lengkap berpakaian dengan memakai baju T hitam dan seluar panjang gelap.

“Pemeriksaan pada mayat yang sudah reput itu menemui dompet milik mangsa sebelum identitinya dikenal pasti berdasarkan kad pengenalan yang ada dalam dompet,” katanya.

Semalam portal berita Harian Metro melaporkan mayat doktor pakar ditemui terapung dan diangkat oleh bomba sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Mayat doktor pakar ditemui

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 2:01 PM