MAAROP ketika ditemui di pejabatnya. FOTO NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


UNDANG Luak Jelebu ke-16, Dato Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad menegaskan perlantikannya sebagai Undang Jelebu sah mengikut adat berdasarkan giliran waris Kemin.

Maarof yang juga pesara guru berkata, perlantikan itu tidak mengambil hak pihak lain mengikut giliran perut daripada Waris Kemin.

“Apabila kami (saya) diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu pada 20 Disember tahun lalu, kami yakin ia hak perut kami tanpa mengambil hak orang lain.

“Pusaka adat ini secara bergilir, zaman pun beredar, oleh itu ketika berlaku krisis perlantikan undang kami serahkan kepada Allah jika benar ia hak.

“Syukurlah, jawatan ini (Undang Luak Jelebu) diperakui Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Kami terima perlantikan ini sebagai tanggungjawab besar,” katanya ditemui di Balai Undang Luak Jelebu di Kuala Klawang di Jelebu.

Maarof berkata, perlantikan itu juga kesepakatan Dato Lembaga Delapan (tiang balai) yang memperakui dirinya Undang Luak Jelebu sekali gus menamatkan krisis perlantikan undang yang berlarutan lebih empat tahun.

Menurutnya, beliau mahu memperkasakan institusi undang, selain merapatkan hubungan bersama pihak yang berkait rapat dengan adat di Jelebu.

Katanya, perlantikan Undang di Jelebu dibuat mengikut giliran tiga waris iaitu Kemin, Sarin dan Ulu Jelebu yang sepatutnya tidak mempunyai masalah.

“Pertikaian dan perebutan jawatan wujud hingga berlaku krisis yang menyebabkan perlantikan tertangguh.

“Fokus kami memperbetulkan salah faham dalam pemilihan undang. Kami berharap keadaan yang keruh dapat dijernihkan semula demi kesejahteraan institusi adat,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, istiadat kerjan iaitu pengisytiharan Undang Luak Jelebu ke-16 akan diadakan lima hari bermula 21 Ogos depan.

Katanya, orang ramai dipelawa hadir bagi menyaksikan istiadat kerjan yang kali terakhir diadakan 38 tahun lalu.

Maarof yang dilahirkan pada 1953 menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 1:12 PM