Anggota bomba memotong besi yang tertusuk pada ibu jari kaki kiri mangsa. FOTO Ihsan JBPM
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


LELAKI berusia 41 tahun menyambut Aidilfitri dalam kesakitan apabila ibu jari kaki kirinya tertusuk besi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, kejadian berlaku pada 3 petang di Lorong Damai, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.11 petang sebelum tujuh anggota diketuai Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Kamarulzaman Salleh bersama satu jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Ibu jari kaki kiri mangsa tertusuk besi dan mangsa ditenangkan pasukan bagi mengelakkan panik.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berjalan di belakang rumahnya.

“Besi berkenaan melekat pada simen dan tidak disedari mangsa menyebabkannya terpijak besi itu,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba memotong besi menggunakan pemotong hidraulik dan mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menaiki EMRS untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Operasi tamat pada 3.31 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 8:59 PM