MANGSA, Mohd Yassir Arafat M Nazari, 24, maut di lokasi akibat tersepit dalam kenderaan. FOTO Ihsan N9 Radar
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


LELAKI maut apabila kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 266, lebuh raya PLUS, arah selatan, Bandar Ainsdale di Seremban hari ini.

Dalam kejadian 7.10 pagi, mangsa, Mohd Yassir Arafat M Nazari, 24, maut di lokasi akibat tersepit dalam kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, lelaki itu memandu Perodua Kancil berseorangan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka.

Setibanya di lokasi katanya, kereta dipandu di lorong paling kiri hilang kawalan lalu terbabas merempuh tiang lampu dan besi penghadang jalan sebelah kiri.

“Akibat rempuhan, mangsa yang tersepit parah di kepala serta badan. Pasukan perubatan yang tiba mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Ibrahim, mangsa beralamat di Kampung Baru, Kuala Sungai Baru, Melaka dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 12:37 PM