SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman bersama jemaah yang hadir untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong. FOTO Sairien Nafis
BERNAMA

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di Shah Alam.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris turut sama berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sementara itu, dalam khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Menghayati Kemeriahan Aidilfitri’ yang dibacakan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menyeru umat Islam membesarkan Allah dalam menghayati kemeriahan Aidilfitri.

Katanya, umat Islam hendaklah menyambut Aidilfitri dengan penuh ketaatan kepada Allah dan menjauhi maksiat.

“Janganlah kita melenyapkan pahala amalan berpuasa dan bertarawih semasa Ramadan lalu, raikanlah Aidilfitri dengan melakukan amalan yang mulia.

“Suburkanlah amalan menziarah saudara-mara, adik-beradik dan sahabat-handai,” katanya.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda dan Tengku Amir turut berkenan bersalam bersama jemaah yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 9:57 AM