GAMBAR hiasan
BERNAMA

PERJALANAN pulang ke kampung bagi lima beranak berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 343 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Sungai Pasu di Raub, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pada kejadian 5 pagi hari ini, mangsa Zunita Mohd Junit, 42, yang berasal dari Felda Tembangau Satu di Bera maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Kemalangan menyebabkan suami mangsa, Ibrahim Nawawi, 42, yang turut tersepit di tempat duduk penumpang hadapan parah, manakala tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 11 hingga tiga tahun di bahagian belakang tidak cedera.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu mangsa terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam longkang. Mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk.

“Mangsa dimaklumkan mengambil alih tugas memandu apabila mereka berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) kerana suaminya mengantuk selepas memandu dari Kota Bharu,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 3:17 PM