GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PENJENAYAH bertopeng serta bersenjatakan pistol automatik melarikan wang tunai hampir RM130,000 dalam rompakan di sebuah bank di pusat industri Hicom Glenmarie di Shah Alam, semalam.

Dalam kejadian 3.50 petang itu, penjenayah solo itu melepaskan dua das tembakan ke arah siling dan meminta pekerja bank memasukkan wang ke dalam beg dibawanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika kejadian ada enam pekerja, dua pengawal keselamatan dan lapan pelanggan di bank berkenaan.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam premis melalui pintu tepi di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta melepaskan satu das tembakan ke siling sebelum pergi ke arah seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata dan mengacukan pistol ke arahnya.

“Suspek minta seorang pekerja keluarkan wang dari kaunter dan dimasukkan ke dalam beg sandang warna hitam dibawanya.

“Lelaki itu kemudiannya melepaskan tembakan kedua ke siling dan masuk ke laluan pejabat menyimpan wang, ketika itu ada seorang pengawal keselamatan bersenjata, namun tidak dapat melakukan apa-apa kerana panik,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, suspek berlari keluar dari premis berkenaan kira-kira lima minit kemudian ke arah kenderaannya yang tidak diketahui.

“Jumlah kerugian hampir RM130,000 membabitkan wang di kaunter dan di dalam bilik tunai.

“Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Baharudin berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek memakai topi hijau, seluar jeans gelap, bertopeng hitam dan bersenjatakan pistol automatik berwarna hitam.

“Unit forensik hadir membantu siasatan dan beberapa petunjuk termasuk cap jari serta kelongsong peluru dikesan.

“Suspek sama dipercayai melakukan samun di tiga bank sebelum ini di Shah Alam dan juga Subang Jaya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 1:29 PM