PEKERJA giat menjalankan kerja membaiki paip utama yang pecah di Setia Alam. FOTO Faiz Anuar
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


KERJA pembaikan paip utama 1800mm yang pecah di Setia Alam, Shah Alam sehingga menyebabkan beberapa kawasan di daerah Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sudah siap dilakukan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya menjalankan kerja pembaikan paip itu secara berterusan dan siap jam 4 pagi tadi.

“Bekalan sudah dibuka sejurus kerja siap dan pemulihan bekalan sedang berlangsung secara berperingkat. Beberapa kawasan sudah mula mendapat bekalan air.

“Pihak kami sedang menumpukan usaha meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan bagi mempercepatkan pemulihan ke semua kawasan yang terbabit.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki masih diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya selain pengaktifan lima buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan tiga lokasi Pili Awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Raof berkata, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku.

“Pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300 untuk mendapatkan bantuan atau melayari laman sesawang www.syabas.com.my.

“Mereka juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan Facebook Air Selangor bagi maklumat terkini yang dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 9:32 AM