GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


LELAKI maut apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18, Jalan Tawau-Merotai, Tawau petang semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Muhammad Sofian Jahabi, 21, yang memandu kereta jenis Proton WIRA maut di tempat kejadian akibat tersepit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci kereta dalam perjalanan dari arah Jalan Merotai menuju pusat bandar.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai cuba memotong kereta Proton Iswara sebelum bertembung dengan sebuah lori dari laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa diseret sejauh 40 meter dan melanggar bahagian kanan Proton Iswara dipandu lelaki berusia 35 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, kedua-dua pemandu lori dan Proton Iswara tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori 10 tan dalam kejadian di hadapan Puspakom Lahad Datu, jam 3.50 petang hari sama.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, penunggang motosikal yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:52 AM