PEKERJA menjalankan kerja pembaikan paip utama yang pecah di Setia Alam. FOTO Faiz Anuar
BERNAMA

AIR Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah melaksanakan pengagihan semula bekalan air di sistem agihannya, dan berjaya mengurangkan kawasan terjejas akibat insiden paip utama di Setia Alam yang pecah, pada 9 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad susulan pengagihan semula itu, kawasan terjejas kini hanya berjumlah 35 kawasan di Klang berbanding 84 kawasan sebelum ini, dan masih sembilan kawasan di Kuala Langat.

“Kerja-kerja membaiki saluran paip berukuran 1,800 milimeter yang pecah pada pagi tadi kini sudah 20 peratus selesai setakat 9 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Kata Abdul Raof, kawasan terjejas bagi daerah Klang adalah Bandar Klang (Batu 1 hingga 3 Jalan Meru), Bandar Parkland, Glenmarie Cove, Glenn Cruise, Jalan Kapar Batu 1 hingga 5, Jalan Pelabuhan Utara, Jalan Raja Lumu. Jalan Kastam, Jalan Kem, Jalan Limbungan, Jalan Syahbandar, Kampung Kastam, Kampung Pulau Indah dan Kampung Telok Gong.

Selain itu, turut akan terjejas, Taman Berkeley/Eng Ann, Taman Sri Andalas, Kampung Keretapi, Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Utara, kawasan Perindustrian Pulau Indah Fasa 1 dan 2, Persiaran Raja Muda Musa, Perumahan Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1, 2 dan 3, seluruh Batu Belah dan Teluk Kapas, seluruh Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman dan Perdana Industrial Park, seluruh Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan, seluruh Perepat, Sementa, Sungai Putus, sepanjang Jalan Goh Hock Huat, Sungai Sireh, Taman Sentosa dan Wisma Polis Marin Pulau Indah.

Bagi daerah Kuala Langat pula, kawasan yang mengalami gangguan bekalan air adalah di Batu 9 Kebun Baru, Eco Sanctuary, Jalan Sijangkang Utama, Kampung Medan, Sijangkang Batu 7 hingga Batu 9, Taman Perwira, Taman Seri Medan, Taman Sijangkang Jaya dan Tropicana Aman.

Kata Abdul Raof lagi, pihaknya sudah menggerakkan lori tangki selain mengaktifkan lima pusat khidmat setempat dan tiga pili awam bagi kemudahan orang awam mendapatkan bekalan air.

Tambah beliau, status terkini mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual itu, akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pengguna boleh merujuk www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor di telefon bimbit serta laman Facebook agensi itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 11:11 PM