Zaharah Othman

DEMI kasih kepada cucu, sepasang warga emas sanggup terbang ke London untuk menemani bayi kesayangan mereka yang kini dirawat di hospital di London akibat ‘Germ Cell Tumor.’

Bagi Ahmad Razak Joffri dan Salmah Atan, cucunya Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin memerlukan sokongan penuh mereka sementara menunggu rawatan dijalankan.

Ahmad Razak dan Salmah terbang Isnin lalu dari kampung halaman mereka di Melaka seminggu selepas Ainul Mardhiah yang menghidap kanser mulut yang jarang ditemui diterbangkan ke sana atas sumbangan orang ramai.

Ahmad Razak berkata, mereka melawatnya setiap hari dan berharap Ainul Mardhiah bersedia menerima rawatan.

“Kehadiran kami di sini untuk memberi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka gembira berikutan Ainul Mardhiah dijaga dengan baik di hospital berkenaan manakala ibu bapanya, Ahmad Safiuddin, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24, mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia di London.

“Dengan kepercayaan serta sentiasa berfikiran positif, kami akan menempuhi ujian ini bersama-sama.

“Ujian ini bukan saja kepada Ainul, ia termasuk kami sebagai datuk nenek dan Wani serta Safi sebagai ibu bapa," kata Razak selepas melawat Ainul.

Menurutnya, mereka perlu kuat supaya Wani dan Safi juga kuat dalam menempuhi dugaan itu.

Katanya, mereka berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong serta menyumbang sehingga Ainul Mardhiah dibawa ke London untuk menerima rawatan.

“Kami tidak tahu siapa mereka, tetapi kami tersentuh dan berterima kasih atas sokongan semua.

“Kisah Ainul Mardhiah berjaya memberi inspirasi kepada ramai pihak dan menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia.

“Harapan kami, Ainul Mardhiah akan membesar seperti kanak-kanak sebaya yang lain dan dapat ketawa, bercakap serta berjalan,” katanya.

Sementara itu, Salmah berkata, air matanya sudah kering sejak Ainul Mardhiah berusia sembilan bulan apabila disahkan menghidap kanser mulut.

“Sebagai ibu bapa dan datuk nenek, kami sentiasa mengingatkan Safi dan Wani untuk menjaga iman mereka dan berfikiran positif.

“Safi, anak sulung kami, akan selalu datang kepada saya apabila dia menghadapi masalah. Dia akan meminta maaf daripada saya dan meminta doa daripada ibu yang sentiasa makbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 5:42 PM
KUALA LUMPUR 03 JUNE 2019. Salmah dan Ahmad Razak sentiasa berada di sisi Ainul Mardhiah yang dirawat di hospital London. GAMBAR IHSAN Ahmad Safiuddin Ahmad Razak