ORANG ramai mengguna perkhidmatan ETS untuk balik ke kampung. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


LEBIH 80 peratus daripada hampir 600,000 tiket perkhidmatan tren yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke semua destinasi seluruh Semenanjung Malaysia sudah dijual.

Pengurus Komunikasi Korporat (Multimedia) KTMB Rosfaizan Abd Rahman berkata, tiket ditawarkan itu mampu menampung permintaan tinggi sempena cuti Aidilfitri.

Beliau berkata, sehingga petang semalam, sebanyak 416,116 tiket habis dijual daripada jumlah tiket ditawarkan membabitkan semua destinasi.

“Namun, masih ada sejumlah 157,768 tiket lagi boleh dibeli orang ramai, khususnya membabitkan perjalanan balik dari kampung halaman ke ibu kota dan pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung tanah air.

“Semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar (KTM Intercity) berjalan lancar mengikut jadual,” katanya.

Beliau ditemui hari ini ketika membawa wartawan Harian Metro meninjau suasana orang ramai menggunakan ETS dari KL Sentral untuk ke destinasi sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, seorang pelanggan ETS ke Taiping, Perak, Ismail Othman, 57, berkata dia sudah menggunakan perkhidmatan KTMB sejak belasan tahun merantau di ibu negara.

“Sejak bujang sehingga berkahwin dan ada enam anak, saya memang suka guna tren.

“Bezanya saya tidak beratur beli tiket macam zaman muda dulu sebaliknya membeli tiket dalam talian,” katanya yang tidak sabar berjumpa isteri Kalsong Yusuf, 55, dan keluarganya.

Dia yang bekerja sebagai buruh pembinaan berkata, anak saudaranya yang membantu belikan tiket ETS secara dalam talian.

Bagi pasangan buta, Haidin Mohd Yusoff, 37, dan isterinya Siti Atikah Ayob, 33, pula menjelaskan suka menggunakan ETS sebab perkhidmatan pengangkutan awam itu mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti mereka.

“Senang, ada pengumuman menggunakan pembesar suara setiap kali tiba destinasi tertentu. Jika peka mendengar susahlah nak terlepas stesen.

“Lagipun, tandas untuk OKU juga ada disediakan di dalam tren dan biasanya kakitangan atau penumpang lain ringan tangan membantu kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 4:17 PM