MUSA menyampaikan sumbangan kepada penduduk. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SELEPAS tidak pernah mengadakan sebarang program sejak Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akhirnya muncul dalam Majlis Silaturahim dan Berbuka Puasa di kediaman beliau di Kampung Sungai Kayu, Batu Tujuh, Sandakan, semalam.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga ketika berucap pada majlis itu sempat memberikan penjelasan punca beliau tidak datang ke Sandakan sebelum ini iaitu disebabkan masalah kesihatan.

“Semua tahu apa yang berlaku pada PRU-14 tahun lalu, tidak perlu saya ungkap semula. Selepas itu, saya ke London untuk bertemu peguam.

“Namun, saya mengalami masalah kesihatan di sana dan dimasukkan ke hospital. Saya juga tidak dibenarkan pulang atau menaiki pesawat ke Malaysia,” katanya di hadapan ribuan orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, faktor lain menyebabkan dia tidak dapat turun padang ke Sungai Sibuga ialah menghadapi kes mahkamah di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Musa turut memberikan sumbangan selain beramah mesra dengan orang ramai.

Musa menghilangkan diri selama beberapa bulan sebelum dilihat berada di London selepas peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pada 12 Mei tahun lalu.

Beliau juga tidak hadir tiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula pada 11 Jun tahun lalu dan hanya datang mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali sekembalinya dari London pada 5 September tahun lalu.

Bagaimanapun, Musa membuat kemunculan sulung di persidangan DUN Sabah pada 16 April lalu dan sempat menyertai sesi soal jawab dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 12:12 PM