Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Islam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab 400 anggota tentera Zionis menceroboh Masjid Al-Aqsa, hari ini.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dalam kenyataan bersama menegaskan, tindakan intimidasi biadap itu tidak akan dikompromi oleh umat Islam.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi MANAR, Datuk Seri Ahmad Awang; dan Pengerusi SHURA, Datuk Abdul Ghani Samsuddin dalam kenyataan itu berkata, tentera rejim Yahudi menunjukkan sikap angkuh terhadap kesucian kompleks masjid itu sehingga memasuki Masjid Qibli secara ganas.

“Laporan langsung yang kami terima dari Masjid Al Aqsa hari ini menunjukkan ratusan Yahudi memasukki Al Aqsa dan tentera Israel mengepung Masjid Qibli, salah sebuah masjid utama dalam Kompleks Al-Aqsa itu.

“Insiden ini akan membangkitkan respons keras daripada umat Islam seluruh dunia dan berpotensi menjadi pertumpahan darah yang merebak ke seluruh Palestin di bulan Ramadhan ini dan menjelang Syawal,” menurut kenyataan itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, ketiga-tiga NGO itu mendesak polis dan tentera Yahudi keluar dari Masjid Al-Aqsa serta-merta.

Katanya, Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang baru bersidang menolak tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Jeruselem sebagai ibu negara haram Israel.

“Mereka mesti segera bertindak untuk selamatkan Masjid Al-Aqsa dari terus diceroboh oleh Zionis.

“Mereka perlu berfikir akibat yang bakal berlaku jika pencerobohan diteruskan, kerana umat Islam di Palestin dan seluruh dunia tidak akan mendiamkan diri,” katanya.

Dalam pada itu MAPIM mendesak Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia) dan Perhimpunan Belia Islam Dunia (WAMY) bertindak segera menyelamatkan kiblat pertama umat Islam itu.

NGO itu turut mendesak pemimpin utama Islam di dunia iaitu Turki, Malaysia, Indonesia dan Pakistan mengecam kebiadaban Israel selain mengemukan usul sidang tergempar.

“Seluruh gerakan pertubuhan Islam di Malaysia mengajak umat Islam supaya bersolat Hajat pada malam-malam terakhir Ramadan ini memohon Allah SWT melindungi Masjid Al Aqsa.

“Semua ulama di Malaysia juga membantah sikap kurang ajar Zionis itu,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Bertempur bantah Zionis masuk Masjidil Al-Aqsa
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 9:58 PM