KEADAAN kereta Honda Civic yang terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 97, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Tebing Tembah, Paka dekat Dungun, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, Abdul Fatah@Abd Rahaman Yusof, 35, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Buaya, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan perindustrian di Kerteh, Kemaman.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas kereta Honda Civic dipandu mangsa dari arah Dungun ke Paka terbabas ke kiri jalan lalu merempuh sebuah rumah di situ.

“Mangsa yang dalam keadaan parah kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka untuk dirawat.

“Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia jam 8.50 pagi di klinik berkenaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 3:53 PM