EBIT ketika berdakwah kepada mak nyah dan pekerja lorong di ibu kota. FOTO Ihsan FB Ebit Liew
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


TIGA anak belajar di Mesir tapi ibu mereka ‘bekerja’ di lorong hitam di ibu kota.

Itu antara kisah kehidupan sedih dan duka yang ditemui pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew ketika melakukan kerja dakwahnya di sekitar ibu kota malam tadi.

Melalui perkongsian di akaun Instagramnya (IG) beliau ke ‘lorong hitam’ itu untuk bertemu mak nyah dan wanita yang ‘bekerja’ di kawasan berkenaan tujuan untuk berdakwah.

Beliau turut berkongsi klip video memberikan nasihat dan memeluk beberapa orang mak nyah yang ditemuinya.

Mereka kelihatan mengesat air mata dan gembira dengan kesudian Ustaz Ebit turun mencari dan mendoakan mereka supaya kembali ke pangkal jalan.

Antara penemuan yang membuatkan pendakwah terkenal dalam kalangan golongan di jalanan itu terkejut ialah seorang wanita yang melacurkan dirinya semata-mata untuk membiayai pengajian tiga anaknya di Mesir.

“Ada seorang kakak ini, dah lama kerja (di lorong), suami dah tiada. Dah 13 tahun sampai sekarang kerja lorong, anak tiga orang belajar Mesir

“Bila anak minta duit, dia bagi dan anaknya tak tahu kerja maknya. Dia seorang diri besarkan anaknya.

“Saya doakannya dapat keluar dari kerja semua ini dan anaknya dapat bantu ibunya. Sedih menangis kakak tu,” katanya.

Selain itu, Ustaz Ebit turut menemui seorang mak nyah yang sudah berada di lorong berkenaan sejak berusia 11 tahun yang ‘mencari wang’ untuk menyara dan membantu keluarganya.

“Menangis saya dengar, ada dari usia 14 tahun dan 15 tahun. Saya peluk mak nyah itu, mereka terharu sebak. Tak peluk wanita,” katanya.

Beliau berkata, mak nyah terbabit membawanya bertemu semua rakan yang melacur di situ.

“Saya sedih tengok tempat kerja mereka, bilik panas dan sempit. Ada yang yang tadi belajar solat dan lain-lain. Bila mereka tekun dengar nasihat,” katanya.

Malah, katanya, ramai dalam kalangan mereka meninggalkan lokasi itu apabila mendengar nasihatnya, sedangkan malam minggu pasti ramai pelanggan.

“Mereka terus ikut dan banyak dapat berbual dengan mereka. Mereka sedar jelas halal dan haram.

“Mereka kadangkala menangis seorang diri, kuat berdoa minta Allah beri kekuatan dalam perjalanan menjadi hamba Allah selain rindukan keluarga,” katanya.

Sehubungan tiu, Ustaz Ebit meminta semua pihak mendoakan supaya programnya untuk memberikan kesedaran kepada golongan terbabit berjaya.

Katanya, ramai dalam kalangan mereka dari seluruh negara hadir secara sukarela ke program motivasi selama tiga hari di Port Dickson baru-baru ini.

“Mereka datang sukarela nak belajar solat. Pohon doa semua buat saya, mereka serta semua manusia di dunia ini supaya kita semua sama-sama disayangi Allah dan diampuninya. Mereka semua baik-baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 3:24 PM