LAKARAN Balai Bomba Daro. FOTO Arkib NSTP
Khalid Latip
am@hmetro.com.my


SELEPAS sekian lama menunggu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro yang memberi kemudahan kepada lebih 30,000 penduduk di daerah Mukah memulakan operasi semalam.

Pembinaan kemudahan dengan kos sebanyak RM6.8 juta itu adalah salah satu lagi bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, balai bomba itu mempunyai kekuatan 10 anggota tetap dan 15 anggota bantuan.

Selain itu katanya, balai berkenaan juga mempunyai satu unit jentera pemadam api, dua unit kenderaan pelbagai guna dan sebuah bot penyelamat.

“Penduduk khasnya di Daro menanti kemudahan ini sejak sekian lama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.

“Menerusi balai bomba ini, penduduk tidak perlu bergantung kepada BBP Tanjung Manis atau BBP Mukah lagi jika berlaku kecemasan.

“Selain Daro, kemudahan ini juga boleh dinikmati penduduk daerah berhampiran termasuk Matu,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis pembukaan balai bomba itu.

Safiee berkata, BBP Daro yang dikategorikan dalam Kelas D mampu memperkasakan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menghadapi situasi di luar dugaan.

Sebelum ini katanya, BBP terdekat terletak di Mukah dan Tanjung Manis iaitu kira-kira dua jam perjalanan dari Daro selain terpaksa menyeberangi Sungai Batang Lassa dan Sungai Igan menggunakan feri.

“Tugas menyelamat menjadi lebih pantas sekali gus mengurangkan risiko kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. “Kemudahan yang disediakan ini amat besar manfaatnya kepada penduduk Daro,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek fasa pertama pembinaan Klinik Kesihatan Daro baharu akan bermula tidak lama lagi.

“Projek pembinaan Klinik Kesihatan Daro yang dijangka menampung 150 hingga 300 orang pesakit dalam satu-satu masa terbahagi kepada dua peringkat dengan fasa pertama mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

“Fasa kedua akan bermula apabila tapak tanah stabil sepenuhnya dan pelaksanaannya diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:16 AM