POLIS menahan suspek yang menyamar anggota polis. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


LELAKI yang menggelarkan diri sebagai ‘polis boy’ ditahan semalam kerana menyamar anggota polis untuk memperdaya seorang pekerja ladang kelapa sawit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, suspek berumur 23 tahun ditahan berhampiran kawasan kedai di Dumpas, dekat Tawau, jam 1.45 tengah hari.

Beliau berkata, suspek mendakwa bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi memperdaya mangsa berumur 40 tahun.

Katanya, kejadian itu berlaku di kawasan perumahan ladang kelapa sawit Kem Brumas, jam 7 malam, 16 Mei lalu.

“Pengadu (mangsa) diminta menyediakan sejumlah wang sebagai bayaran bagi urusan membebaskan jirannya yang ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sebelum menyerahkan sebanyak RM2,000 kepada suspek.

“Bagaimanapun, selepas seminggu, jiran mangsa belum dibebaskan dan suspek sekali lagi meminta bayaran tambahan sebanyak RM500 untuk menyegerakan proses pembebasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, mangsa yang berasa curiga kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan keselamatan ladang sebelum membuat laporan polis jam 3 petang, kelmarin.

Berikutan itu, suspek berjaya ditangkap kurang 24 jam sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:11 AM