Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menjemput dan menyertai Majlis Iftar Muhibbah di Gurdwara Sahib, Johor Bahru, Selasa lalu.

Baginda bertitah Ahli Parlimen berkenaan tidak pernah merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Walaupun majlis ini dibantah masyarakat, ia tidak dapat lari dari fakta bahawa waktu dan keadaan majlis dibuat atas nama Majlis Ibadah Berbuka Puasa Di Dalam Bulan Ramadan.

“Sungguhpun mendapat bantahan pelbagai pihak, Ahli Parlimen itu tetap ingkar dan meneruskan majlis atas dasar toleransi dan perpaduan antara agama,” titah Baginda menerusi Facebook (FB) rasminya sebentar tadi.

Titah baginda, sebagai pemimpin seharusnya Akmal sedar, tahu dan faham untuk membezakan tindakan politik dan agama.

“Ini menunjukkan ketidakmatangannya sebagai seorang pemimpin dan ahli politik.

“Bagi memastikan keharmonian antara kaum dan agama, saya secara konsisten dan berulang kali melarang dan tidak membenarkan aktiviti politik yang dijalankan menggunakan agama Islam sebagai modal politik.

“Kesucian agama Islam tidak sepatutnya dicemari dengan aktiviti-aktiviti ahli politik tanpa memikirkan kesan buruknya secara keseluruhan terhadap agama Islam dan umat Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah, ahli politik datang dan pergi tetapi kesan perbuatan negatif mengakibatkan luka yang dalam dan berpanjangan terhadap Bangsa Johor yang sukar untuk diubati.

Titahnya, adalah sedia dimaklumi penganut agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka terhadap umat Islam.

“Namun apabila seorang muslim dengan sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan berbuka puasa dengan orang bukan Islam, maka tindakan itu membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada orang Islam.

“Perbuatan ini menjadi lebih serius implikasinya apabila pemimpin politik beragama Islam sendiri menghadirkan diri ke kuil dan menggunakan platform majlis berbuka puasa di bawah bumbung Gurdwara Sikh.

“Ia sekali gus menjadikan perbuatan pemimpin itu satu teladan dan ikutan, sedangkan ia mewujudkan rasa tidak selesa umat Islam, menjadi fitnah, kekeliruan dan mewujudkan ketegangan pada masyarakat terutama yang kurang pendidikan agamanya,” titah baginda.

Baginda bertitah apa yang mungkin diamalkan di tempat lain tidak semestinya baik di bawa masuk ke dalam budaya negeri ini.

“Tradisi budaya dan amalan yang diamalkan di negeri ini sejak zaman berzaman melahirkan pemuafakatan Bangsa Johor berbilang agama dan kaum.

“Oleh kerana rakyat negeri ini mempunyai pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan fahaman sesuatu perbuatan yang dianggap baik oleh satu kelompok mungkin dianggap tidak elok oleh kelompok lain, apatah lagi jika ia membabitkan premis agama mereka,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, semua Bangsa Johor hendaklah disedarkan bahawa Artikel 57 Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dna Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan status agama Islam sebenarnya bukanlah pengakuan perundangan bahawa Islam adalah agama negeri dan Persekutuan.

“Ia melangkaui lebih dari pemahaman itu kerana perundangan itu sebenarnya memperakukan Islam adalah agama yang diamalkan rakyat dalam negeri ini sejak lama dahulu.

“Contohnya penggunaan majalah Ahkam Adliyah oleh kerajaan Ottoman dirujuk dan diaplikasikan dalam undang-undang negeri ini sejak 1914.

“Justeru peruntukkan undang-undang itu sebenarnya bukanlah pemberian keistimewaan kepada agama Islam sebaliknya adalah manifestasi, pengembalian dan pengesahan akan ketinggian agama Islam pada tempatnya, sebagaimana kedudukan Islam sebelum kedatangan penjajah,” titahnya.

Justeru Baginda mengarahkan pihak berkuasa agama Islam negeri Johor segera mengambil tindakan sesuai dan perlu bagi mengelak perkara yang dilihat boleh mempersendakan dan merendahkan agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 10:30 PM