Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


DUA siri lawatan kerajaan Malaysia ke China pada Ogos dan Mac lalu memberi impak positif apabila eksport buah Musang King sejuk beku kini dibenarkan ke negara terbabit.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, berita gembira pada minggu ini ternyata memberi sinar baru pada industri durian negara ini yang sebelum ini hanya mengeksport pes dan ulas durian sejuk beku.

“Berita gembira pada minggu ini apabila durian kita dalam bentuk ‘whole fruit’ sudah boleh dieksport ke China selepas kita menunggu sekian lama (eksport).

“Ia di atas inisiatif Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri dan saya sudah dua kali menyertai siri lawatan penting itu pada Ogos dan Mac lalu,” katanya.

Katanya, beliau yang mengiringi Dr Mahathir melihat bagaimana komitmen pemimpin negara ini menekankan potensi industri durian dalam siri lawatan itu.

“Dalam dua lawatan membabitkan pertemuanperingkat tertinggi kerajaan kedua-dua negara, Perdana Menteri menekankan mengenai industri durian yang berpotensi di Malaysia.

“Bagi pihak China pula, negara itu menawarkan pasaran luas di China, bahkan potensi besar itu memperlihatkan hanya satu peratus daripada 1.4 bilion rakyat China dapat merasai kenikmatan Musang King,” katanya.

Katanya, melihat potensi besar itu, industri durian terutama Musang King semakin cerah dan seharusnya peluang itu direbut pemain industri tempatan.

Katanya, rentetan daripada dua pertemuan itu, kerajaan China menghantar penguatkuasanya memeriksa premis, kilang dan kebun buah.

Katanya, hasil lawatan itu memberi impak positif apabila kelulusan mengeksport durian Musang King diberikan dalam tempoh sebulan.

“Biasanya ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk mendapat kelulusan hasil daripada pemeriksaan dilakukan penguatkuasa negara itu.

“Bagaimanapun kelulusan diberikan dalam tempoh sebulan, selain kita kini boleh mengeksport keseluruhan buah sejuk ke China, berbanding pes dan ulas sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu pemain industri terutama syarikat yang diizinkan melaksanakan eksport durian Musang King perlu jujur dan tidak menipu.

“Jangan tipu dan mesti jaga kepercayaan ini dengan kita amalkan MyGAP dan integriti.

“Jangan letak Musang Kini tapi bukan Musang King kerana akan berdepan tindakan jika ditangkap kerajaan China mengakibatkan eksport buah ke negara itu menghadapi masalah,” katanya.

Katanya, buah Musang King sejuk beku mestilah yang asal dan bagi syarikat diberi keizinanan perlu pelihara kepercayaan ini.

“Sekali lagi ditekankan MOA tidak teragak-agak menarik balik kelulusan sekiranya mereka hanya mahu mengejar keuntungan pada masa terdekat ibarat ‘jangan bunuh angsa mahu mendapatkan telur emas’,” katanya.

Menurutnya, surat kelulusan itu diterima pada 30 Mei lalu dan eksport Musang King dijangka pada musimnya Julai hingga Ogos ini.

Pada masa sama katanya, perlu ada polisi membabitkan pengeksportan buah itu dan ia akan dibincangkan kelak.

“Ia penting bagi menjaga industri hiliran tempatan yang juga perlu dititikberatkan, selain mengeksport ke negara China,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Datin Halimah di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 6:57 PM
SALAHUDDIN (dua dari kiri) melakukan gimik pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani. FOTO Mohd Azren Jamaludin