FOTO Arkib NSTP
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


PENGANJURAN solat sunat Aidilfitri yang dirancang diadakan di Stadium Mini Kuala Klawang, Jelebu, dibatalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Bakri Sawir berkata, program yang dianjurkan pejabatnya itu terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebab pembatalan itu.

“Solat sunat Aidilfitri yang sepatutnya dianjurkan di Stadium Mini Kuala Klawang dibatalkan kerana sebab-sebab tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra Syawal Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Pasar Tani Kuala Pilah di Kuala Pilah, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan Usahawan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ahmad.

Sementara itu, FAMA menyarankan orang ramai supaya memanfaatkan penganjuran program Pasar Tani Khas Pra Syawal yang dianjurkan di seluruh negara bagi mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga lebih rendah.

Mohd Zaidi berkata, program beroperasi selama lima hari bermula 31 Mei hingga 4 Jun ini menawarkan pelbagai barangan makanan keperluan pada harga lima hingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Ia dianjurkan di seluruh Malaysia supaya pengguna mempunyai pelbagai pilihan lokasi dan mengelakkan dari dieksplotasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Program khas ini diharap menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan sempena Aidilfitri nanti,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan lain seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 12:57 PM