Kamarudin (kiri) dan Mohd Rani (dua kiri) beramah mesra dengan penumpang ETS yang pulang awal ke kampung halaman bagi menyambut hari raya Aidilfitri di Setesen KL Sentral. FOTO Owee Ah Chun
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah menjual 407,502 tiket menjelang Aidilfitri minggu hadapan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata, syarikat pengangkutan itu menyediakan sejumlah 564,740 tiket kepada penumpang bagi perjalanan di antara 1 Mei dan 16 Jun.

Katanya, tiket bagi laluan Kuala Lumpur dan Padang Besar menerima permintaan paling tinggi dan tambahan perkhidmatan disediakan berikutan permintaan yang tinggi.

“Tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan waktu puncak (24 sehingga 30 Mei) masih berbaki sebanyak 11,137 manakala perkhidmatan KTM Antara Bandar (KTM Intercity) sebanyak 12,415 masih dijual.

“Bagi tarikh perjalanan waktu paling puncak (31 Mei sehingga 9 Jun), tiket ETS dan KTM Intercity masing-masing berbaki sebanyak 14,809 dan 10,973 tiket,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas mengedarkan 1,000 pek hari raya kepada penumpang ETS dari Stesen KL Sentral-Padang Besar dan dan KTM Komuter dari stesen yang sama ke Pelabuhan Klang.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin.

Dalam pada itu, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) sepanjang 192 kilometer yang dijangka siap pada Oktober 2021, sudah 37 peratus siap.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM630 juta bagi perolehan 10 set tren ETS baharu.

Sementara itu katanya, KTMB juga akan menggunakan tren serba baharu untuk penumpang sektor Pantai Timur menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:51 PM