Penunggang motosikal maut selepas melanggar pokok di Jalan Kota Iskandar, Iskandar Puteri, pagi tadi. FOTO ihsan polis.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEORANG Pekerja hotel maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar pokok di Jalan Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, S Ramachanthiran, 24, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Gelang Patah menghala ke Puteri Harbour hilang kawalan sebelum melanggar pokok.

“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa yang parah di bahagian kepalanya disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba selepas kemalangan berlaku.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:48 PM