SEBAHAGIAN dadah yang dirampas. FOTO Saifullizan Tamadi.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan dua sindiket pemprosesan, pengedaran dan penyeludupan dadah yang didalangi 10 individu tempatan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 28 dan 29 Mei lalu.

Dalam serbuan itu, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM17.53 juta selain membongkar kewujudan makmal memproses dadah jenis erimin 5 di kawasan perusahaan Bukit Angkat, di Kajang.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi pertama, pihaknya melakukan enam serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur yang membawa penahanan kepada tujuh individu berusia 28 hingga 57 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 20 bungkusan syabu seberat 20.7 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM1.04 juta.

"Selain itu, kami turut menyita lapan kenderaan membabitkan Toyota Vellfire, Mazda 6, Lexus, Mercedes, Volkswagen Jetta, Proton Persona serta dua Honda Accord selain wang tunai berjumlah RM192,798, pelbagai jenis jam tangan dan barang kemas," katanya pada sidang media di premis yang dijadikan makmal memproses dadah di kawasan perusahaan Bukit Angkat, di Kajang, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, operasi kedua dilakukan pihaknya pada 29 Mei lalu membabitkan tiga serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Kajang berjaya menahan tiga ahli sindiket berusia antara 28 hingga 69 tahun yang memproses dadah di premis berkenaan.

"Dalam operasi ini, kami merampas 84.2 kg serbuk erimin 5 yang boleh menghasilkan pil 421,000 pil; 51 kg ketamin; 1.035 kg atau 3,450 pil ekstasi; 400 pil erimin 5, dan 165 gram syabu selain 93.25 kg serbuk bahan kimia, dua tong cecair bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah di dalam makmal berkenaan.

"Keseluruhan rampasan dadah terbabit dianggarkan berjumlah RM16.49 juta selain menyita dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Honda Accord, wang tunai sebanyak RM18,200 dan seutas jam tangan," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan dua alat penapis udara di makmal berkenaan bagi mengelak bau kimia yang diproses di premis terbabit dikesan pihak luar.

"Ini adalah kali pertama kami menemui makmal yang menggunakan alat penapis udara bagi menghalang bau kimia daripada dihidu orang luar di sekitar kawasan terbabit.

"Malah, peralatan yang digunakan untuk memproses dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara luar bagi membolehkan makmal terbabit beroperasi yang disyaki beroperasi sejak dua hingga tiga bulan lalu," katanya.

Katanya, berdasarkan jumlah rampasan itu, pihaknya percaya bekalan dadah dihasilkan di makmal berkenaan yang boleh diambil untuk lebih 700,000 penagih dibekalkan bagi pasaran tempatan selain diseludup ke luar negara.

"Semakan rekod mendapati ada di antara suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah samun selain seorang ahli kimia berusia 69 tahun yang pernah ditahan sebelum ini berhubung penemuan makmal dadah di Semenyih pada 2014.

"Semua suspek yang ditahan direman selama enam hari bermula 29 Mei lalu hingga 3 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:50 AM