DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO Syarafiq Abd Samad
BERNAMA

RAKYAT Malaysia di Arab Saudi diminta bersama-sama membantu kerajaan membina semula negara selepas tampuk pemerintahan negara bertukar tangan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mereka boleh membantu mengikut kemampuan masing-masing seperti memberi input membina supaya dasar yang lebih efektif dapat diperkenalkan.

“Membina semula negara selepas apa yang berlaku bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi ia tidak mustahil.

“Kita perlu membetulkan keadaan dalam masa sama meneruskan pertumbuhan ekonomi negara yang memberi manfaat kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di Jeddah, semalam.

Turut hadir Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-14 yang berlangsung hari ini.

Persidangan itu, yang bertemakan ‘Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan’ didahului dengan Mesyuarat Pegawai kanan pada 27 Mei dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar pada 29 Mei.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, setiap rakyat juga boleh menjadi ‘duta’ negara dalam menyebarkan maklumat yang benar kepada masyarakat di Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:38 AM