SUASANA jambatan angkat pada waktu malam. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

“NEGERI Terengganu ada, negeri awok ada dok? Itu antara usikan kebanyakan individu di media sosial apabila merakam gambar berlatarbelakangkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ pertama di Asia Tenggara yang dibina di Kuala Terengganu.

Meskipun belum boleh dilalui dan hanya ditinjau dari jauh, tetapi keadaan itu akan berubah mulai Ahad ini sehingga 17 Jun apabila kerajaan negeri membukanya untuk percubaan.

Keterujaan melihat secara dekat pastinya bukan sahaja membabitkan masyarakat sekitar tetapi mengundang kebanjiran pelancong sempena Aidilfitri dan cuti sekolah.

Sebagai bandar warisan pesisir air, kewujudan jambatan itu di Kuala Terengganu pastinya akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, meskipun jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu dibuka untuk menguji prestasi sistem operasinya, sambutan orang ramai pasti luar biasa apatah lagi sebelum ini sudah menjadi tumpuan ramai.

“Apabila dibuka sepenuhnya nanti, kami menjangkakan kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat lebih 20 peratus bagi tahun pertama.

“Malah, ia mampu memberi manfaat kepada kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan Gong Badak,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, di Wisma Darul Iman, Terengganu.

PEMANDU bot penambang, Razali Abdul Ghani, 69 dari Jeti Seberang Takir melihat jambatan angkat dengan lebih dekat. FOTO Ghazali Kori

Justeru, Ahmad Samsuri berharap rakyat Terengganu mengambil peluang daripada pertambahan kedatangan pelancong itu dengan menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Kami (Kerajaan negeri) sedang pertimbangkan untuk mewujudkan kawasan menarik seperti gerai yang bukan sahaja menceriakan kawasan pesisir pantai berdekatan tetapi turut mempromosi produk tempatan,” katanya.

Idea pembinaan jambatan angkat yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu datang daripada jambatan angkat di kota raya London, iaitu London Tower Bridge.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Ahmad Samsuri berkata jambatan angkat itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu malah seluruh Malaysia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat berkata, 80 peratus daripada kira-kira 250 pekerja terbabit dalam projek pembinaan jambatan angkat adalah pekerja tempatan.

“Mereka termasuk penyelia, pengurus pembinaan dan pekerja pembinaan,” katanya.

Projek ini menggunakan kepakaran dan kemahiran kontraktor tempatan dan luar negara, memandangkan terdapat bidang kepakaran dan bahan yang tidak terdapat di pasaran tempatan.

Jambatan angkat adalah sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre, sebuah projek pembangunan bandar bersepadu yang menggabungkan ciri-ciri unik warisan Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, dengan adanya jambatan yang bakal menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara itu, rakyat perlu lebih kreatif dan inovatif dalam memajukan industri pelancongan negeri.

“Mendirikan satu bentuk fizikal kita boleh bina dalam masa enam bulan, tetapi untuk memberi satu kefahaman dan menukar cara berfikir yang lama kepada lebih kreatif memerlukan proses berterusan dan mengambil masa.

“Saya pernah jumpa seorang peniaga keropok yang dilihat sangat tradisional, saya tanya kenapa tidak dikembangkan dalam bentuk automasi dan pembungkusan lebih baik supaya dapat eksport ke luar Malaysia, berbanding buat keropok di belakang rumah sahaja.

“Tetapi peniaga itu berkata anak-anak tidak berminat untuk meneruskan perusahaan itu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif perlu diambil termasuk menyediakan ruang kerja lebih baik bagi menarik golongan muda menceburi industri tradisional Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri bersedia membantu rakyat yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan melalui pelbagai platform termasuk pemberian dana tabung usahawan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:33 AM