DADAH yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS menahan dua lelaki bersama seorang wanita di sebuah kondominium dekat Bukit Indah di Iskandar Puteri, kelmarin selepas disyaki mengedar dadah.

Dalam serbuan kira-kira 11.30 malam itu, turut ditemui 909.54 gram ketamin; 375.1 gram pil ekstasi dan 100.2 gram pil erimin 5.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 27 tahun itu berada di kondominium berkenaan.

“Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat tangkapan terhadap dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 27 tahun di sebuah kondominium di Bukit Indah.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai dadah disyaki ketamin, pil ekstasi dan pil erimin 5 yang mana harga pasaran bagi semua dadah yang dirampas ini adalah sebanyak RM94,022,” katanya.

Beliau berkata, selain dadah, turut dirampas, wang tunai RM 3,500 dan SGD400 serta dua kereta Toyota Camry dan Perodua Myvi.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 5 Jun ini bagi siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:29 AM