MUHAMMAD Saleh bercakap dalam sesi soal jawab bersama media di Makkah. FOTO Bernama
BERNAMA

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh bin Taher Benten berkata, pihaknya membuat kajian menyeluruh berhubung permohonan Malaysia menambah kuota jemaah haji tahun ini.

Beliau berkata, sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berbincang dan membuat keputusan dalam penentuan kuota haji setiap negara.

“Kuota setiap negara diagihkan mengikut apa yang dibincangkan...kuota rasmi Malaysia juga diberikan, tetapi ada permohonan penambahan dan tentu sekali perlu dikaji terlebih dahulu.

“Permohonan ini dibuat (di peringkat tertinggi) melalui Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Insya-Allah dikaji dari sudut persediaan dan (kapasiti) tempat untuk jemaah Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media tempatan dan antarabangsa sempena sidang kemuncak OIC ke-14 di sini.

Turut serta dalam sesi itu 390 wartawan dari 57 negara anggota OIC dan 59 stesen televisyen antarabangsa yang membuat liputan sidang kemuncak bermula hari ini.

Bertemakan Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan dijangka dihadiri pemimpin negara anggota OIC untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang melanda Dunia Islam.

Bermula dengan Mesyuarat Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan, hasilnya dikemukakan kepada mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC yang diadakan di Jeddah pada Rabu.

Deraf akhir pernyataan rasmi diserahkan ke Sidang Kemuncak Islam itu untuk diterima pakai. Sidang kemuncak itu dijangka mengeluarkan Deklarasi Makkah dan pernyataan akhir, menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam.

Sementara itu, Saleh memuji pengurusan jemaah haji Malaysia dan menyifatkan pengurusan haji negara ini bersistematik dan terlatih.

“Terima kasih kepada Malaysia dan Tabung Haji (TH) atas pengurusan yang sangat baik dan membantu jemaah haji mengerjakan ibadat mereka,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat berkata, Dr Mahathir mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini TH belum menerima jawapan rasmi permohonan itu daripada kerajaan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:00 AM