SEBAHAGIAN ayam siap proses yang dicuri lelaki bersama kakak dan rakan wanitanya. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


PERBUATAN lelaki bersama kakak dan rakan wanita mencuri 30 ayam siap diproses bernilai RM350 di kedai pemborong ayam di Taman Selasih, Kulim, mengundang padah apabila mereka ditahan semalam.

Kejadian disedari peniaga ayam berusia 33 tahun pada jam 5.35 pagi ketika berada di kedai sebelum dia menyemak kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tiga individu berusia 18 hingga 20 tahun melakukan perbuatan itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, mangsa mengenali suspek dan ke rumah mereka sebelum suspek menyerahkan tiga bungkusan plastik berisi ayam siap proses yang dicuri.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi polis sebelum anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) datang ke rumah suspek dan menahan mereka jam 6.30 pagi.

“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peniaga dinasihatkan menjaga lebih rapi barangan jualan mereka terutama menjelang musim perayaan bagi mengelak kecurian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:16 PM