GAMBAR hiasan
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


PEMANDU teksi dan e-hailing yang masih gagal mendaftar dan mencarum dalam Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) bakal berdepan tindakan kompaun antara RM500 hingga RM4,000 selepas penguatkuasaan dilaksanakan 1 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat ini, hanya 14,500 daripada 200,000 pemandu teksi dan e-hailing di seluruh negara sudah mendaftar sistem berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya bukan mahu mengambil tindakan kompaun semata-mata sebaliknya lebih kepada kesedaran pemandu terbabit.

“Kita mahu semua pemandu berdaftar dengan PERKESO sebagai syarat membawa perkhidmatan awam.

“Kita mahu menjaga kebajikan mereka dan dalam masa yang sama akan melakukan penguatkuasaan.

“PERKESO hanya mahu beri kesedaran dan kalau boleh mahu mengelak daripada mengambil tindakan. Apa yang penting adalah masa depan mereka dan keluarga akan lebih terjamin nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar PERKESO di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Amir Omar dan Pengerusi Perkeso, Zakri Mohd Khir.


KULASEGARAN dan tetamu kehormat beramah mesra dengan anak yatim ketika Majlis Iftar PERKESO. FOTO Amirudin Sahib

Mohammed Azman berkata, pemandu yang didapati bersalah dan enggan mendaftar bakal dikenakan kompaun antara RM500 sehingga RM4,000 bergantung kepada kesalahan dan jangka masa ia dilakukan.

“SPS yang diwujudkan Perkeso bakal diperluaskan kepada pelbagai sektor pekerjaan tidak formal termasuk petani, nelayan, penjaja dan penggiat seni.

“Pengenalan skim berkenaan dapat memastikan semua golongan pekerjaan mendapat perlindungan sewajarnya jika berlaku kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 12:14 AM