Kebakaran membabitkan lori tangki berisi 41,000 liter minyak hitam kitar semula terbakar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Gurun. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my

SEBUAH lori tangki membawa 41,000 liter minyak hitam kitar semula terbakar di Kawasan Perindustrian Gurun, hari ini.

Kejadian 1.14 tengah hari itu mengakibatkan kawasan gudang yang dijadikan tempat penyimpanan lori tangki terbabit dipenuhi asap tebal.

Ketua Zon Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Marzukhi Shafie berkata, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Guar Chempedak dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Katanya, pihaknya turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Gurun, Padang Lembu, Guar Chempedak Semeling, Bakar Arang dan Kota Sarang Semut.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa memadam kebakaran menggunakan buih bagi mengelakkan api daripada merebak.

“Ketika anggota sampai kira-kira 1.20 tengah hari, api sedang marak membakar lori tangki berkenaan.

“Kita terpaksa menggunakan semburan buih untuk memadam kebakaran bagi mengawal api daripada merebak serta mengawal pengaliran minyak ke kawasan lain,” katanya api berjaya dikawal pada 3.12 petang.

Beliau berkata, kebakaran turut memusnahkan sebuah lagi lori kosong yang diletakkan berhampiran lori tangki berkenaan.

Marzukhi berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:22 PM