Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


SEJUMLAH 3,500 Kotak Rezeki Harian Metro bersaiz kecil diagihkan kepada tujuh agensi penguatkuasaan di Lembah Klang, hari ini.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, ia simbolik penghargaan di atas kerjasama yang dijalinkan di antara pihak terbabit dengan Harian Metro.

“Ia juga tanda terima kasih di atas segala kerjasama pihak berkuasa dengan Harian Metro yang kini sudah menjangkau usia ke 28 tahun.

“Terima kasih juga diucapkan kepada penaja yang menaja program Kotak Rezeki pada tahun ini dan ia dapat dikongsi bersama pihak berkuasa,” katanya pada Majlis Penyerahan Kotak Rezeki Harian Metro 2019 di Balai Berita Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain; Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor, Leftenan Kolonel Khairil Izzwan Datuk Abdul Rahman; Penguasa Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Hisham Izhar dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam.


Tuan Mohd Asri lapan kanan) dan bergambar bersama pegawai -pegawai agensi penguatkuasa beruniform pada Majlis Penyerahan Kotak Rezeki Metro di Balai Berita Shah Alam. FOTO Roslion Mat Tahir

Turut hadir Penguasa Kastam Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Osman Satiman dan Pegawai Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Muhammad Fareez Abdul Rashid.

Setiap agensi penguatkuasaan menerima 450 kotak mengandungi kurma, kek, air kotak, air mineral, minuman Double Lion Cordial dan biskut Julie’s Love Letter.

Selain pihak berkuasa, sebanyak 1,500 Kotak Rezeki Harian Metro juga diagihkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama kumpulan Harian Metro dan penaja bersama seperti Julie’s dan Double Lion serta pihak KLIA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:22 PM