Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


TAKTIK nelayan asing menggunakan bot menyerupai bot nelayan tempatan ketika menceroboh perairan negara, gagal mengaburi pihak berkuasa apabila mereka dikesan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengaran Daerah Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Fauzi Othman berkata, perbuatan sekumpulan 16 warga Vietnam itu dikesan ketika sedang menangkap ikan di perairan Miri.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat terdapat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan, sebuah bot peronda diarah menjejakinya.

“Sebaik sahaja berjaya mengesan lokasi bot berkenaan, pihak kami menjalankan pemeriksaan lanjut dan menemui 16 warga Vietnam berusia antara 18 hingga 46 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.


BOT dinaiki nelayan asing terbabit. FOTO Ihsan APMM

“Pemeriksaan juga menemui kira-kira 6,000 kilogram ikan baja di dalam bot berkenaan, yang disyaki diperolehi secara haram di perairan kita,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, nilai rampasan termasuk bot nelayan terbabit dianggarkan berjumlah RM500,000.

Semua nelayan terbabit akan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 4:50 PM