PATI yang ditahan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba mendapatkan bekalan petrol untuk diseludup ke negara jiran selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tinagat, Tawau, hari ini.

Mereka ditahan sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan tugas ‘Ops Gelora Khas’ selepas perahu suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada 1.30 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika ditahan, semua suspek warga Filipina berumur antara 19 hingga 28 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka sedang menghala ke kawasan perumahan setinggan perkampungan atas air di Batu 4, Tawau.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut menemui sebanyak 27 tong minyak kosong disimpan di ruang perahu terbabit.

“Pengakuan awal secara lisan mendapati mereka cuba mendapatkan bekalan minyak petrol di kawasan perumahan setinggan terbabit sebelum diseludup keluar ke negara jiran Filipina,” katanya dalam kenyataan, di Tawau, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, mereka kemudian ditangkap dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut dirampas sebuah perahu bersama tiga unit enjin pam bernilai kira-kira RM6,500, manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:12 AM