ANTARA yang ditahan dalam operasi pengemis dijalankan JKM. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


“MAK CIK terpaksa buat macam ini (minta sedekah) sebab nak tampung duit beli ubat, mak cik tiada niat sebenarnya untuk minta duit orang ramai.”

Itu antara alasan diberikan wanita warga emas berusia 60 tahun selepas diselamatkan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Pahang apabila dia dikesan meminta sedekah di bazar Ramadan Taman Kerang, Kuantan, semalam.

Wanita berkenaan yang turut menggunakan kerusi roda selepas kaki kanannya dipotong akibat kencing manis mendakwa dia bukannya meminta sedekah daripada orang ramai secara sepenuh masa sebaliknya hanya pada waktu tertentu.

“Bila perlu duit nak beli ubat baru mak cik duduk di sini pegang bekas untuk dapat sedekah orang lalu lalang di bazar.

“Kalau boleh mak cik tidak mahu susahkan anak mak cik,” katanya yang mendakwa aktivitinya itu turut diketahui anaknya.


OPERASI pengemis dijalankan JKM di sekitar bazar Ramadan, Taman Kerang, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Wanita itu bagaimanapun dibawa ke pejabat JKM Kuantan untuk siasatan dan tindakan lanjut biarpun terus mencipta pelbagai alasan.

Sementara itu, Penyelaras Penguatkuasaan JKM negeri, Nur Hanani Emran berkata, dalam operasi bersepadu membabitkan 60 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyelamatkan 25 peminta sedekah di Kuantan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 20 peminta sedekah terdiri warga asing dan selebihnya adalah warga tempatan.

“Mereka yang diselamatkan termasuk bayi berusia tiga bulan hingga warga emas berusia 60 tahun.

“Bagi warga asing kita serahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut manakala pengemis warga tempatan dibawa ke ibu pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 5 petang itu memfokuskan beberapa kawasan bazar Ramadan seperti di Taman Kerang, Jalan Stadium dan Taman Tas yang dikesan menjadi lubuk kepada pengemis meraih simpati orang ramai pada bulan mulia ini.

“Kita sering terima aduan daripada orang ramai mengenai kebanjiran pengemis di kawasan tertentu yang ada di antara mereka menggunakan kanak-kanak untuk menagih simpati,” katanya.

Nur Hanani berkata, tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:58 AM