MAYAT mangsa kemalangan membabitkan motosikal dan kereta. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENUNGGANG maut manakala pemboncengnya cedera ringan selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan kereta di selekoh Jalan Kubang Menerong, dekat Jitra, semalam.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa, Mohd Rizwan Che Ali, 27, dari Kampung Batas Keretapi Megat Dewa, Megat Dewa Kodiang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

Bagaimanapun rakannya, Mohd Huzairi Azizan, 27, dari Kampung Pida 8 Lama, Tok Kepak, Kodiang hanya luka di kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu kereta, lelaki berusia 37 tahun gagal membrek sehingga berlaku pelanggaran.

“Akibat pelanggaran, penunggang dan pembonceng motosikal melambung dan jatuh di atas jalan raya.

“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk menerima rawatan.

“Berikutan itu, pemandu kereta yang beralamat di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis diminta hadir ke Balai Polis untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan kecederaan dalaman anggota badan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:17 AM