JAMBATAN angkat yang bakal dibuka sebelum Aidilfitri Jun ini. FOTO Imran Makhzan
Mohd Aizat Shamsuddin
mohdaizat@bh.com.my


KERAJAAN Terengganu berpuas hati dengan perjalanan projek pembinaan jambatan angkat atau ‘draw-bridge’ yang akan dibuka untuk tempoh percubaan pada 2 Jun ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa aspek perlu dibaiki sebelum jambatan angkat itu dibuka bagi mengelak kesesakan dan jaminan keselamatan kerana orang ramai dijangka membanjiri jambatan itu ketika pembukaannya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) waktu dan cara terbaik jambatan itu akan dibuka nanti.

“Saya tahu semua teruja untuk menggunakan ‘draw-brigde’, bagaimanapun kita akan berbincang dengan pihak pengurusan (ECER), jam berapa (pembukaan jambatan) dan cara terbaik supaya tidak berlaku huru-hara.

“Kita akan memuktamadkan dan akan maklum kemudian dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan kerja-kerja akhir di jambatan angkat di Kuala Terengganu, hari ini.


AHMAD Samsuri (dua kanan) ketika meninjau keadaan jambatan angkat. FOTO Ghazali Kori

Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut memberi peringatan kepada pengguna supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Saya sudah beri peringatan sejak awal lagi supaya pengguna tidak berhenti di tengah jambatan, sebaliknya kenderaan boleh diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan yang disediakan dan berjalan ke atas jambatan di laluan yang disediakan,” katanya.

Pembinaan jambatan unik yang juga sebahagian projek ECER itu membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air dan Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 10:53 PM