PEGAWAI Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan serbuan terhadap klinik haram milik doktor Bangladesh. FOTO Ihsan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


WALAUPUN pernah diserbu tahun lalu, beberapa doktor haram membabitkan pendatang asing warga Bangladesh dikesan masih meneruskan kegiatan di ibu kota.

Doktor tanpa tauliah terbabit dikesan turut menjual pelbagai ubat-ubatan seludup, selain menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, kegiatan itu dibongkar Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merampas produk serta ubat-ubatan berjumlah RM180,000 hasil serbuan terhadap klinik dan farmasi haram Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, serbuan disertai Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu mendapati kebanyakan produk dan ubat tanpa pendaftaran itu diseludup dari Bangladesh dan India.

“Serbuan dijalankan hasil risikan terperinci ke atas dua premis di kawasan sekitar Lebuh Pudu serta Jalan Silang di sini. Premis sama pernah diserbu pada 2018.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, warga asing itu didapati menukar modus operandi mereka dengan menempatkan kesemua produk yang disorok di lokasi yang sukar diakses di sebalik pelbagai produk makanan dan barangan am,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, warga asing itu didapati turut mengubah waktu operasi mereka dengan lebih aktif pada hari minggu.

Katanya, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.

“Orang awam boleh menyemak status dan nombor pendaftaran MAL sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 di samping memastikan label Hologram Meditag pada pembungkusnya.

“Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk itu,” katanya.

Sebarang aduan berkaitan produk tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Orang ramai juga boleh pergi ke mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:10 PM