FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SELEPAS hampir setahun empat remaja lelaki dituduh membunuh seorang tukang cuci kereta, posmen pula didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil dari J Poovarashan, 22, selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama empat yang sudah dituduh dengan seorang yang masih bebas didakwa membunuh S Ravindran, 22, di tepi Jalan PJS 2B/3, Metro Square, PJS2, Petaling Jaya, antara jam 11 dan 11.30 malam, 6 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamis tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Pada 19 Jun tahun lalu, empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa atas kesalahan sama.

Dalam kejadian itu, mangsa diserang sekumpulan kira-kira 20 lelaki berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun menggunakan parang berhampiran kedai cuci kereta berhadapan Blok 10, Desa Mentari 2.

Mangsa kemudian melarikan diri ke arah kawasan Metro Square sebelum terjatuh di tepi Jalan PJS 2B/3 dalam jarak kira-kira 200 meter dari tempat mangsa diserang.

Akibat serangan itu, lengan kiri mangsa yang maut itu hampir terputus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:59 PM