SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 47,633 kotak rokok pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM735,342.80 dirampas dalam Operasi Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Batu 5, Jalan Apas, di Tawau, Selasa lalu.

Operasi itu yang turut disertai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Pegawai Penyelaras Operasi Darat ESSCOM, Deputi Superintendan Jafri Othman menyerbu bengkel terbabit selepas disyaki menjadi tempat menyimpan rokok seludup, 9.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, susulan serbuan itu, seorang lelaki Cina tempatan berumur 24 tahun ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan rokok terbabit.

“Rampasan berkenaan juga mendedahkan taktik sindiket penyeludupan yang menyewa premis seperti bengkel sebagai tempat penyimpanan sebelum semua rokok terbabit diedar dan dipasarkan di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik IPD Tawau di sini, hari ini.

Sementara itu, Nor Azizul berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejayaan rampasan itu mempunyai kaitan dengan rampasan terdahulu di sebuah jeti di Tawau Lama.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan modus operandi berbeza digunakan penjenayah yang kerap menyeludup masuk rokok dari negara jiran menerusi jalan darat berbanding penyeludupan sebelum ini yang biasanya menerusi jalan laut.

“Kita turut merampas lima kenderaan masing-masing membabitkan tiga lori dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux disyaki digunakan suspek untuk kegiatan penyeludupan itu.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,245,342.80 dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:34 PM