MOHAMED Aswan (berdiri dua dari kanan) beramah mesra dengan penerima al-Quran Braille iaitu Muhammad Sirajuddin (duduk tengah), Ramli Abdul Rahman, 58 (duduk kanan) dan Muhammad Danish Isyraq Ab Ghani, 16 (duduk kiri) di Georgetown. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


RAMADAN kali ini memberi seribu hikmah kepada remaja cacat penglihatan sejak lahir apabila impiannya memiliki al-Quran Braille, tercapai.

Impiannya itu direalisasikan Persatuan Tongkat Putih iaitu persatuan cacat penglihatan dinaunginya.

Muhammad Sirajudin Sulaiman, 19, berkata, dia mula diperkenalkan dengan Muqaddam Braille ketika darjah satu, namun disebabkan kesukaran mendapatkan al-Quran Braille, dia hanya sempat menghabiskan surah al-Baqarah sahaja.

Meskipun begitu, dia berhasrat membaca semua 30 juzuk dan segera khatam al-Quran.

“Menerusi al-Quran Braille yang lengkap ini, saya berharap dapat meneruskan impian segera khatam al-Quran dan menghafaz lebih banyak surah.

“Memang sudah lama saya mahu memiliki al-Quran Braille ini dan bersyukur dipilih sebagai antara penerimanya,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat (IT) di St Nicholas Home, Georgetown.

Muhammad Sirajudin ditemui di majlis penyerahan al-Quran Braille disumbangkan hasil kerjasama Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita) dan Masjid Kapitan Keling.

Sumbangan disampaikan Pengarah Pelita, Datuk Mohamed Aswan Seeni Nizalath.

Menerusi kerjasama itu, sebanyak 100 naskah al-Quran Braille disumbangkan kepada penerima terdiri daripada persatuan cacat penglihatan dan masjid di sekitar negeri ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sirajudin berkata, dia bertuah kerana mendapat al-Quran Braille itu pada usia muda, sekali gus mempunyai banyak masa bagi membaca, menghafaz dan khatam al-Quran.

“Ini kerana bagi membaca al-Quran tidak sama seperti muqaddam kerana ayatnya lebih panjang, jadi saya memerlukan lebih banyak masa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Danish Isyraq Abdul Ghani, 16, berkata ini kali pertama dia menerima al-Quran Braille dan berharap ada pihak dapat mengajarnya teknik membaca al-Quran berkenaan sehingga mahir.

“Sebelum ini saya membaca al-Quran biasa dengan bantuan ahli keluarga, guru serta rakan dan memang teruja apabila terpilih menerimanya.

“Diharapkan ada pihak sudi mengajar teknik membaca al-Quran Braille ini supaya saya dapat membaca sendiri dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:09 PM