Sahabudin (tengah) bersama Mohd Yusoff (sepuluh dari kiri) bergambar dengan pegawai pada majlis Penerimaan Rasmi Lima Bot Amphibian Humdinga. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SEBANYAK 1,952 kes penyeludupan terutama rokok seludup, arak serta mercun ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) membabitkan nilai rampasan RM72.53 juta dari Januari hingga April lalu.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, ia menunjukkan peningkatan 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu 1,554 kes.

“Nilai rampasan tahun ini turut meningkat 117 peratus iaitu daripada RM33.39 juta tempoh sama tahun lalu kepada RM72.53 juta.

“Kejayaan ini adalah hasil tindakan agresif PPM dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan di seluruh negara seiring dengan seruan kerajaan untuk mengekang aktiviti haram di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Taklimat Penerimaan Rasmi Lima Bot Amphibian Humdinga di PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru hari ini.

Hadir merasmikan majlis itu, Timbalan Pengarah 1, Jabatan StaRT Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan.

PPM menerima lima bot dua alam, Amphibian Humdinga daripada syarikat Aero Art yang berpangkalan di United Kingdom sekali gus menjadikan jumlahnya kini enam unit membabitkan kos RM29.5 juta.

Mohd Yusoff berkata, jumlah rampasan tinggi itu bagi menyahut seruan kerajaan terutama mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara.

“Ini adalah bukti kita kepada kerajaan yang mana kita mampu menangani masalah penyeludupan dan ia merugikan kerajaan dalam jumlah besar.

“Sebagai contoh penyelidikan mendapati kerajaan rugi RM5 bilion setahun bagi hasil cukai rokok saja,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI), beliau berkata, pemantauan akan dilaksanakan menerusi Ops Gelora dan Ops Landai.

Katanya, ketika ini fokus diberikan PPM terhadap usaha mengekang aktiviti tekong dan PATI menerusi pemantauan di perairan negara.

“Kemasukan PATI beramai-ramai dijangka dua minggu hingga sebulan Aidilfitri dengan kemasukan seperti tahun sebelumnya.

“Justeru, kita meningkatkan operasi dan rondaan demi menjamin keselamatan negara dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 3:13 PM