Gambar hiasan
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


LEBIH setengah juta ringgit kerugian dicatatkan membabitkan 12 kes penipuan Macau Scam yang disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang tahun ini dengan sebahagian besar mangsa terdiri daripada golongan profesional.

Semua kes berkenaan direkodkan dari 1 Januari hingga 27 Mei lalu dengan ada antara mangsa bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat (IT), jurutera, peniaga, setiausaha syarikat dan pesara kerajaan yang berumur 21 hingga 65 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mangsa terdiri daripada pelbagai bangsa dan bukan hanya membabitkan golongan wanita dengan keseluruhan kerugian ialah RM525,242.

“Daripada 12 kes terbabit, tujuh mangsa adalah lelaki dan lima wanita yang terperdaya akibat penipuan ini.

“Modus operandi digunakan penjenayah mudah saja, mangsa menerima panggilan telefon dengan mengatakan terdapat kes polis, mahkamah atau hutang bank, seterusnya meminta memindahkan sejumlah wang ke satu akaun lain supaya kes dapat diselesaikan.

“Ada antara suspek menyamar sebagai pegawai undang-undang, polis, pegawai bank, pegawai kastam, pekerja mahkamah, pekerja syarikat penghantaran barang serta menyamar menjadi rakan mangsa dan meminta pertolongan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam sidang media hari ini.

Abdul Aziz berkata, walaupun polis sering memberi amaran mengenai kegiatan penipuan berkenaan, masyarakat masih ramai yang terpengaruh dengan panggilan telefon diterima mereka.

“Mangsa seharusnya tidak mudah panik apabila menerima panggilan telefon mengatakan mereka terbabit dengan mana-mana kes dan meminta bayaran untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Sekiranya betul mereka terbabit dengan kes yang disebutkan, pasti polis atau mahkamah akan mengeluarkan surat atau notis. Bukan sewenang-wenangnya menelefon dan meminta memindahkan wang ke dalam akaun tidak dikenali.

“Orang ramai perlu tegas jika menerima panggilan telefon yang mencurigakan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah dan ragut dengan nilai kerugian sebanyak RM50,000 di daerah ini selepas menahan tiga suspek tempatan dan seorang wanita pada 17 Mei lalu.

“Dalam pada itu, polis masih menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas iaitu Syed Ahmad Zaki Ahmad Zin, 39, dan Ahmad Eiman Razali, 23.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek terbabit boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Roselee Ibrahim menerusi talian 0138961912,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 2:55 PM