Tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana mengugut mahu membunuh adik iparnya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


LELAKI dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengugut mahu membunuh adik iparnya.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Wan Mohd Fadillah Wan Mansor, 29, dari Kampung Raja, Besut, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membunuh Muhamad Ezril Hisham Abd Rahman, 25, dengan niat menimbulkan rasa takut terhadap mangsa di Kampung Pulau Duyong Kecil di sini 6.45 petang 2 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Ridhuan Mohimadin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumah mentuanya di Kampung Pulau Duyong didatangi abang iparnya (tertuduh) yang mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah.

Dalam kejadian itu, tertuduh cuba menyerang ibu mentua mangsa serta isterinya dengan menggunakan bekas kaca tetapi sempat dihalang.

Tertuduh turut mengugut mahu mengerat dan membunuh semua yang berada di rumah itu jika enggan memberi wang.

Sebelum ini, tertuduh pernah memegang senjata tajam lalu mengacukan kepada ahli keluarga lain dan susulan laporan dibuat, tertuduh ditahan 10.30 malam hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 2:46 PM