ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit di bawah jentera penggelek dipandunya yang terbalik. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PEMANDU jentera penggelek menahan sakit selama tiga jam akibat tersepit selepas jentera yang dikendalikannya itu terbalik di Bukit Jemalang di Chukai, malam tadi.

Dalam kejadian 4.45 petang, Che Ku Mohd Jofizal Che Ku Sin, 38, patah kaki kiri akibat dihempap besi bumbung jentera yang dipandunya itu.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa gagal mengawal kenderaan berkenaan ketika melalui lereng bukit sebelum kenderaannya itu terbalik.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 2 negeri, Penguasa Kanan Bomba Azmi Ab Rahim ketika dihubungi berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dalam keadaan tersepit dan menahan kesakitan sebelum anggota yang tiba mengeluarkan mangsa.

“Kami mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa disebabkan jentera itu seberat 40 tan.

“Oleh itu, kami mendapatkan bantuan daripada dua ‘excavator’ (jentera pengorek) untuk membantu kita mengangkat jentera berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8 malam tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menjalani rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 1:37 AM